Tuesday, June 5, 2007

WELCOME!!! SELAMAT DATANG

(Pic) my beloved son: ILHAMI
................................
Assalamualaikum wbt.
WELCOME / SELAMAT DATANG

Terima kasih kerana melawat web-blog saya

Guru menjana modal insan gemilang?



Guru diberi tugas untuk menjana modal insan gemilang. Hal ini bukanlah satu perkara yang baru tetapi memang matlamat atau impian bagi setiap guru terhadap pelajar-pelajarnya dalam mengharungi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Insan gemilang adalah puncak daripada kejayaan yang membawanya ke arah kecemerlangan.
Kejayaan pula ialah penggunaan secara maksimum kebolehan yang ada pada diri seseorang untuk menghasilkan pencapaian. Dalam hal ini kebolehan ialah potensi atau fitrah yang dikurniakan oleh Allah yang harus dikembangkan secara menyeluruh, bersepadu dan berterusan sepertimana yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, untuk membawa seseorang pelajar itu ke arah kegemilangan, maka ia harus bermula lebih awal iaitu melalui proses memperkembang potensi individu secara berterusan.
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya!
Potensi individu mampu dikembangkan secara berterusan melalui aktiviti kurikulum mahu pun kokurikulum.
Guru harus mengintegrasi dan menggandingkan pelbagai kemahiran dengan ilmu yang diperlukan oleh pelajar dalam proses P&P.
Inilah modal yang perlu dimiliki oleh setiap insan dalam kehidupan yang serba mencabar.
Ilmu dan kemahiran bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.
Kita tidak mahu melahirkan pelajar hanya bersifat ulat buku tetapi perlu melahirkan pelajar yang diumpamakan akar pokok yang sentiasa menjalar meniti zaman bagi mengukuhkan pohon tersebut.
Ulat buku adalah hasil daripada perpindahan ilmu daripada pelbagai sumber ke otak manusia tanpa melalui proses transformasi yang akhirnya akan mati kekenyangan.
Akar pokok ialah perpindahan ilmu yang membawa kepada penerokaan, inovasi yang berlandaskan survival atau keinginan untuk hidup serta memahami falsafah kehidupan secara lebih bermakna.
Garis panduan tentang pengintegrasian kemahiran sudahpun dibuat dalam kurikulum kebangsaan.
Ia merangkumi pelbagai strategi P&P, strategi penjanaan minda kritis dan kreatif, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran serta pelbagai kaedah dalam pemupukan nilai-nilai murni yang merangkumi semangat patriotik.
Persoalannya sekarang sejauh manakah pengintegrasian ini dapat diwujudkan serta dilaksanakan secara berkesan.
Pada pandangan saya guru harus memahami proses pengintegrasian ini agar P&P tidak hanya berperanan sebagai pemindahan ilmu tetapi mampu menerapkan kemahiran melalui perkembangan potensi yang akan membawa perubahan ke atas dirinya.
Sebagai contoh, sesuatu aktiviti pembelajaran sama ada dalam bentuk kurikulum atau kokurikulum perlu mempunyai unsur pengintegrasian seperti berikut yang merangkumi aspek ilmu dan kemahiran:
(a) Perkembangan ilmu: Pendedahan ilmu merangkumi teori, prinsip, konsep terhadap sesuatu topik pembelajaran.
(b) Perkaitan dengan kehidupan: Guru harus mampu menyedarkan pelajar tentang perkaitan antara ilmu yang dipelajari dengan kehidupan masa sekarang serta kehidupan masa depan yang merangkumi kepentingan ilmu yang dipelajari, bidang kerjaya yang boleh diceburi, sumbangan yang boleh diberi, keperluan serta penyelidikan yang perlu dicari, inovasi yang perlu dibuat, kesan dan akhibat yang akan diterima serta keperluannya kepada negara.
(c) Perkembangan kemahiran belajar: Dalam proses penimbaan ilmu guru harus menggalakkan penggunaan pelbagai strategi, kaedah yang merangkumi kemampuan menggunakan alat berfikir (thinking tools) dalam menganalisis atau mentafsir yang membawa kepada penyelesaian sesuatu masalah serta aplikasi pelbagai mod pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam proses mengakses atau memproses maklumat.
(d) Perkembangan kemahiran generik: Melalui beberapa langkah atau prosedur, sesuatu aktiviti pelajar mampu membina sahsiah seperti keyakinan diri, toleransi, pengurusan masa, bekerjasama, sayang menyayangi yang membawa ke arah menghargai nilai kehidupan.
Pengintegrasian di atas mampu menjadikan insan lebih bermodal bukan setakat bermodalkan ilmu pengetahuan tetapi bermodalkan kemahiran yang menjadi faktor penggerak ke arah tindakan yang membawa makna dalam kehidupan.


-Dipetik dari artikel Dr. Ismail Zain , "Menjana modal insan gemilang",

Utusan Malaysia, 6 Jun 2007

Cheng Lock antara sejarah dan realisme??

NAMA Tun Tan Cheng Lock dalam sejarah perjuangan bangsa tidak pernah ada noktahnya. Dalam lentera kebangkitan bangsa beliau tercatat sebagai pejuang bersama-sama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun V.T Sambanthan.
Baru-baru ini, tokoh Cheng Lock kembali dikenang. Beliau diketengahkan dalam pementasan muzikal Cheng Lock yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Watak tokoh itu dipikul oleh dramatis, Kenji Sawahi.
Turut menjayakan pementasan tersebut ialah Jalaluddin Hassan (Tunku Abdul Rahman), T.Bala (V.T Sambanthan), Louisa Chong (Mak Andam), Abon (orang kampung), Jesse Lim (H.S Lee) dan Ng Hung Shen (Tan Siew Sin).
Turut menjayakan pementasan ialah Rena Tan (ibu Tan Cheng Lock), Mohd. Iqbal Mohd. Taufik (ketua tentera British) dan Abdul Mutalib Abu Bakar (ketua tentera British).
Ia diarahkan oleh Chin Chee Peng dan Lokman Ghani yang juga merupakan penulis skrip. Sementara Suhaimi Md. Zin merupakan pengarah muzik, Anthony Meh Kim Chuan (pengarah tari) dan Zubaidah Sual (penasihat kostum).
Sebagai naskhah muzikal, Lokman dan Chee Peng menempatkan elemen realisme dalam diksi dan latar peristiwa. Namun, mereka melakukan perubahan pada karakter tokoh dan watak-watak di sekitarnya.
Gaya realisme itu kemudiannya dikembangkan dengan pendekatan muzikal untuk menghasilkan tontonan yang ringan tetapi tetap mempunyai mesej tersendiri untuk khalayak.
Pendekatan itu memungkinkan Lokman dapat memanfaatkan sisi realisme yang dipetik daripada kisah dan jatuh bangun Cheng Lock dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air.
Kedua-dua pengarah tersebut mempunyai medium tersendiri dalam melontarkan makna sejarah kepada penonton. Tidak hanya lakonan tetapi juga kekuatan lagu, dialog, muzik dan kostum.
Dengan kata lain, tanpa disedari atau sebaliknya, kedua-dua pengarah itu menemukan watak nasionalisme melalui diksi realistik bahasa Mandarin dan Melayu yang diucapkan menerusi dialog.
Kemampuan Lokman dan Chee Peng mencerna elemen-elemen sejarah, latar peristiwa, spesifikasi karakter tokoh serta kehalusan bahasa tiga kaum utama di Tanah Melayu menjadikan naskhah Cheng Lock unik dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Berdasarkan paradigma teater realis, naskhah tersebut cukup berjaya menterjemahkan konsep realisme dan elemen-elemen sejarah khususnya latar belakang kehidupan peribadi serta politik Cheng Lock.
Realiti watak-watak atau pelaku sejarah ketika negara sedang memperjuangkan kemerdekaan seperti Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman dan Sambanthan berjaya diketengahkan melalui diksi yang tersusun dan indah.
Kedua-dua pengarah itu memilih bahasa Mandarin dan Melayu bukan sekadar peralatan linguistik tetapi juga sebagai world-vision yang kukuh.
Watak utama (Kenji Sawahi dan Felina Cheah Teck Yoong) juga tidak mengalami kegagapan leksikal dalam berbahasa Melayu dan Mandarin.
Lokman sendiri sebagai orang lama dalam perfileman dan teater tanah air juga berjaya menggarapkan sisi-sisi yang ‘tersembunyi’ dalam kehidupan realiti Cheng Lock. Antaranya kisah percintaan dan pergolakan batin tokoh itu.
Melalui garapan sisi-sisi yang jarang diketahui oleh masyarakat itu, beliau secara langsung mengentengahkan psikologi manusia marginal daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Sebagai sebuah temuan kreativiti dalam rentang sejarah yang dibawa ke pentas, Cheng Lock turut diberi makna baru oleh Lokman dan Chee Peng secara pentafsiran semula beberapa aspek.
Tidak dinafikan pendekatan itu bertujuan supaya ia selaras dengan sebuah pementasan muzikal dan satu sisi lain untuk menarik minat khalayak.
Antara babak dramatik ialah ketika Cheng Lock terpaksa meninggalkan isteri tercinta Yeok Neo ke India atas nasihat kerajaan British.
Suhaimi Md. Zin sebagai pengarah muzik untuk pementasan itu bijak memainkan peranan. Suasana ‘India’ dihidupkan menerusi muzik tradisional etnik itu.
Namun, babak percintaan tersebut kadang-kadang menenggelamkan motif sebenar penceritaan yang ingin disampaikan kepada khalayak.
Sehingga pada satu ketika, kita seolah-olah berada di bawah pentas untuk menyaksikan Romeo dan Juliet karya Shakespeare. Bagaimanapun, kehadiran pelakon-pelakon berpengalaman menafikan beberapa kelemahan Cheng Lock.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan naskhah Cheng Lock di tangan Lokman dan Chee Peng berjaya membawa mesej percintaan, sekaligus perjuangan membebaskan diri daripada belenggu penjajah.
Namun, keupayaan kedua-duanya mengadaptasi sebuah kisah sejarah tokoh nasionalis ke pentas dalam wacana muzikal lebih memukau.

Mencari jalan untuk melakukan ketaatan

(Pic) my beloved son: ILHAMI
................................

Assalamualaikum wbt.

WELCOME / SELAMAT DATANG

Terima kasih kerana melawat web-blog saya



Basyirah bt Ghazali
Artikel pilihan saya untuk komentar bersama...
....................................
Mencari jalan untuk melakukan ketaatan

WAHAI orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya): dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. (al-Maidah: 35)

ISLAM tertegak bukan di atas retorik dan omongan kosong, tetapi ia perlu diamalkan dan diusahakan untuk dilaksanakan dalam semua bentuk sistem kehidupan. Tanggungjawab inilah telah dilakukan dengan jayanya oleh generasi sahabat, mereka bersungguh-sungguh mencari jalan, mencari alternatif sungguhpun di sana ada masalah dan ujian, mereka tetap berusaha, mereka tidak mudah menyerah kalah dan berputus asa.

Sikap inilah harus ada pada diri umat Islam sekarang, kita faham bahawa untuk melaksanakan Islam dalam semua ruang lingkup kehidupan itu adalah wajib, maka kita harus berusaha melaksanakannya. Mungkin di sana ada ujian dan halangan, tetapi janganlah kerana ujian dan halangan, kita menyerah kalah dan berputus asa.
Oleh itu, menjana diri untuk bertaqwa, muhasabah dan muraqabah adalah ciri-ciri orang yang beriman sebagaimana saranan ayat ini, orang yang beriman di samping menjana dirinya untuk bertakwa, dia juga sentiasa ada sifat untuk berusaha, gigih, tekun mencari jalan, mencari perkara yang boleh menghubungkan diri dengan Allah s.w.t. Mereka harus berfikir, merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti yang boleh mendekatkan diri dan orang lain dengan Allah s.w.t.

Inilah tanggungjawab kita yang bergelar umat Islam, sebagaimana satu riwayat daripada Ibnu Abbas maksudnya: “Hendaklah kamu mencari jalan yang menyampaikan kamu kepada-Nya” ialah carilah hajat untuk kamu kemukakan kepada Allah, kerana ketika manusia itu berkehendak kepada Allah dan ketika mereka memohon sesuatu hajat kepada Allah, maka di waktu itu mereka berada di dalam kedudukan 'Ubudiah yang betul di hadapan Rububiah, iaitu berada di dalam posisi yang paling baik dan paling dekat dengan kejayaan dan keuntungan.

ORANG yang berjaya adalah mereka yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, berkorban dalam apa jua lapangan kehidupan semata-mata untuk mencari Redha-Nya. Mereka bekerja, beraktiviti, berprogram dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah. Mereka sentiasa meningkatkan kualiti diri untuk bertakwa kepada Allah, berusaha mencari jalan dan penyelesaian di atas segala ujian dan kesulitan yang dihadapi.